Punca Ia Terjadi, Cara Mengesan,
Rawatan dan Pencegahan
Barah
terjadi hasil dari pertumbuhan dan percambahan sel tubuh, lymph dan darah yang
tidak terkawal. Ia sangat merbahaya bukan kerana ia boleh menjangkiti orang
lain, tetapi ia lambat laun akan membunuh mangsanya. Barah merupakan salah satu
dari punca utama kematian manusia.
Pertumbuhan sel yang normal
Di dalam
tubuh manusia terdapat berbagai jenis tisu seperti kulit, paru-paru, hati,
limpa dan yang lain. Tisu-tisu tersebut terbina dari berjuta-juta sel yang
teratur dan terkawal, dengan setiap tisu mempunyai struktur sel yang
tersendiri. Rupa bentuk setiap sel berbeza dari satu organ ke satu organ yang
lain.
Sel-sel ini
akan mati dan diganti melalui proses pembahagian sel. Proses ini dikawal begitu
rapi dan merupakan proses biasa yang berlaku secara semulajadi. Bilangan sel
yang diganti adalah sama jumlahnya dengan sel yang telah mati. Jika berlaku
luka, penghasilan sel akan meningkat sehingga luka itu sembuh dan pembahagian
sel menjadi kembali seperti biasa selepas itu.
Sel-sel barah
Sel-sel
barah membahagi dan bercambah mengikut kadar tersendiri tanpa boleh dikawal.
Proses itu berterusan sehingga rawatan diberi. Percambahan yang begitu cepat
menjadi ketumbuhan. Sel-sel ini juga tidak terkawal secara teratur sehingga
tisu-tisu yang terbentuk dari sel-sel ini tidak langsung menyerupai tisu-tisu
yang normal. Bahan makanan diserapi melalui sel-sel yang normal, tetapi sel-sel
barah ini tidak berfungsi langsung.
Jenis-jenis barah
Barah
dikelaskan mengikut dari mana datangnya sel-sel barah ini iaitu:
Karsinoma -
dari permukaan tubuh seperti kulit, perut, pundi air kencing, rahim, prostat,
usus kecil dan besar, dubur, buah dada dan salur benih.
Sarkoma -
dari struktur dalam tubuh seperti tulang, otot-otot dan lemak.
Lymphoma -
dari kelenjar lymph.
Lukemia -
dari sel darah putih.
Ketumbuhan
Tidak semua
ketumbuhan itu barah, ada yang "benign". Jenis ini tidak merbahaya kecuali
bila mengganggu fungsi organ yang terlibat. Ketumbuhan "benign" tidak
merebak, ia tumbuh di dalam kelongsongnya dan dalam tisu-tisu yang normal.
Ketumbuhan "malignant" merbahaya kerana ia terdiri dari sel-sel barah
yang menceroboh atau tumbuh dalam tisu-tisu normal. Bukan itu sahaja, sel-sel
dari ketumbuhan ini malahan bercerai dan merebak ke seluruh anggota mangsanya
hingga mengakibatkan kematian mangsanya.
Ketumbuhan
"benign" kelihatan seakan-akan tisu normal, percambahannya terkawal
dan perubahannya lebih perlahan. Tetapi jika ketumbuhan ini berlaku pada organ
yang penting seperti paru-paru, kesihatan mangsanya akan terjejas. Ketumbuhan
"benign" perlu dikeluarkan melalui pembedahan.
Asal-usul barah
Sel barah
bermula dari sel-sel normal dalam tubuh. Hanya satu sel sahaja diperlukan untuk
mencetus ketumbuhan barah. Proses perubahan dari sel normal menjadi sel barah
berlaku secara sangat perlahan dan berperingkat-peringkat serta memakan masa
bertahun-tahun. Pada setiap peringkat, sel-sel ini menjadi bertambah tidak
normal bentuknya dan kian kurang terkawal.
Proses ini
tidak menimbulkan apa-apa tanda atau kesakitan sehinggalah barah terjadi.
Tetapi dalam sesetengah keadaan, seperti barah pangkal rahim, perubahan ini
boleh dikesan melalui ujian seperti pap smear.
Cara barah membiak
Sel barah
berupaya merebak hingga menjadikannya sangat merbahaya. Sel ini merebak dengan
teratur bermula dari tisu-tisu di sekelilingnya. Kemudian sel-sel ini bercerai
dan terkandung dalam cairan tisu tubuh, seterusnya masuk ke dalam saluran
lymphatik dan ke dalam kelenjar-kelenjarnya. Dari sini sel barah menembus masuk
ke dalam saluran darah.
Fungsi
kelenjar lymp adalah menapis keluar sel-sel yang mati dan jangkitan. Sel barah
lazimnya terperangkap di dalam kelenjar yang paling hampir dengan tempat barah
terjadi. Sel-sel ini akan mati, tetapi lambat laun satu darinya akan mula
bercambah dan mengakibatkan ketumbuhan kedua. Dari sini sel-sel itu akan
merebak ke dalam saluran darah dan dibawa keseluruh tubuh mangsanya.
Mengapa barah terjadi?
Sebab
terjadinya barah tidak diketahui, tetapi barah didapati biasa terjadi apabila
seseorang itu sudah meningkat tua. Bertambahnya bilangan pesakit barah adalah
disebabkan dewasa ini kita hidup lebih lama dari dulu. Satu teori lain pula
mengatakan bahawa tubuh kita memang mengeluarkan sel-sel yang tidak normal,
tetapi biasanya ia boleh dimusnahkan secara semulajadi. Namun begitu terdapat
pada mangsa barah, sebilangan sel yang berupaya untuk terus hidup hingga
mengakibatkan barah.
Ada juga
barah yang diwarisi seperti barah mata (retina). Barah buah dada juga dikatakan
ada kaitan dengan warisan untuk sesetengah mangsa.
Kebanyakan
barah dipercayai berlaku akibat dari kemasukan sesuatu dari persekitaran
seperti yang terbukti dari radiasi, kimia tertentu atau bahan-bahan lain.
Cahaya ultra-ungu dari matahari juga boleh mengakibatkan barah. Bahan-bahan
yang dimasukkan dalam makanan, ubat-ubatan dan tembakau juga boleh
mengakibatkan barah.
Siapa dihidapi barah?
Kanak-kanak
juga boleh menghidapi barah, iaitu lazimnya barah lukemia. Lukemia kerap
mencari mangsa yang berumur antara 3 hingga 14 tahun. Kaum lelaki pula
mengalami barah paru-paru, prostat, usus besar, perut dan pankrias. Kaum wanita
yang malang dihinggapi barah buah dada, pangkal rahim, rahim, usus besar,
paru-paru dan ovari.
Mengesan barah
Jika barah
dapat dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke bahagian lain tubuh,
rawatannya lebih mudah dan penyembuhan lebih mudah tercapai. Oleh itu
pengdiagnosan yang seawal-awalnya sangat penting. Ketakutan kita pada penyakit
barah ada kalanya melengahkan kita dari mendapat kepastian ini.
Barah boleh dikesan dengan berbagai
cara seperti:
Sinar X dan
imbasan
Biopsi atau
mengambil secebis tisu dan diuji
Ujian
cairan/lelehan dari tubuh seperti air liur dan lelehan pangkal rahim
Pemeriksaan
darah untuk menguji fungsi hati dan tulang
Isotope;
iaitu bahan radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh, kemudian dikesan melalui
sinar X
Termografi;
iaitu mengesan suhu pada setiap bahagian yang terlibat. Sel barah lebih tinggi
suhunya dari sel normal
Setelah
dikesan dan diketahui jenis serta peringkat barah yang dihidapi, rawatan yang
tepat dapat dimulakan. Tujuan rawatan ialah untuk memusnahkan semua sel barah.
Cara merawat atau mengubati barah
Doktor akan
merawat mangsa barah dengan cara yang sesuai dengan jenis barah dan
peringkatnya. Antara rawatan yang diberi ialah:
Pembedahan
untuk membuang keseluruhan ketumbuhan barah termasuk kawasan sekelilingnya
serta kelenjar-kelenjar lymph yang berdekatan. Pembinaan semula dilakukan jika
perlu seperti 'colostomy', iaitu membina salur najis di atas perut apabila usus
dan dubur telah dibuang
Menggunakan
radioterapi untuk memusnahkan sel-sel barah. Radiasi memusnahkan bahan genetik
sel barah supaya ia tidak berupaya bercambah lagi. Tetapi radiasi juga turut
memusnahkan sel yang normal. Proses pemulihan sel normal akan berlaku selepas
itu. Selalunya dos radiasi yang selamat diberikan. Ia diberikan setiap hari
selama 4 hingga 6 minggu. Kesan sampingan yang dialami ialah gatal kulit. Ini
boleh dikurangkan dengan tidak membasuhnya, kemudian sapukan kerim. Kelesuan
dan cirit-birit akan berlaku jika rawatan dibuat di bahagian perut. Rambut akan
gugur jika rawatan dibuat di kawasan kepala, tetapi rambut akan tumbuh semula
dalam tempoh 6 bulan. Kesembuhan untuk ketumbuhan setempat seperti di leher dan
kepala kadang-kadang boleh dicapai dengan radiasi. Radiasi dilakukan selepas
pembedahan untuk meningkatkan kesembuhan seperti pada buah dada. Radiasi juga
boleh melegakan gejala-gejala barah terutamanya rasa sakit. Radiasi
kadang-kadang dimasukkan sebagai susuk ke dalam mulut, lidah, rahim untuk
mengurangkan pemusnahan sel-sel normal.
Kemoterapi
iaitu dengan ubat-ubatan untuk memusnahkan kandungan genetik sel barah. Rawatan
cara ini diberi bila barah telah merebak. Pemusnahan kandungan genetik
mengakibatkan percambahan sel barah tidak sempurna, tetapi ia turut melibatkan
percambahan sel normal. Kesan sampingan rawatan ini adalah keguguran rambut,
loya dan pengurangan sel darah. Ini kerana sel di bahagian kulit, tulang sumsum
dan perut bercambah dengan pesatnya.
Terapi
hormon diberi pada barah yang bergantung kepada hormon untuk bercambah. Hormon
penghalang pengeluaran hormon yang biasa diberi supaya sel barah ini berhenti
bercambah.
Rawatan
kombinasi juga diberi untuk barah seperti yang dihidapi oleh kanak-kanak.
Pembedahan diikuti dengan radioterapi kemudian diikuti dengan ubat-ubatan.
Dalam kes barah lukemia dan anemia tertentu, radiasi seluruh tubuh dilakukan
sebelum pemindahan tulang sumsum dilaksanakan.
Kebanyakan
jenis barah boleh diatasi jika dikesan pada peringkat awal. Oleh itu adalah
penting untuk membuat ujian dan mengesannya di peringkat awal supaya rawatan
serta merta dapat diberikan. Selepas sembuh, rawatan susulan adalah sangat
penting terutamanya pemeriksaan di bahagian yang terlibat. Sekiranya mangsa
barah boleh hidup dan sihat sehingga selepas 5 tahun, bolehlah berharap bahawa
dia tidak akan lagi dihingapi barah.
Cara mengelak barah
Beberapa
langkah boleh diambil untuk mengelak berlakunya barah seperti:
Elakkan dari
terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus
Elakkan
menghisap rokok
Elakkan
menjalani sinar X kecuali jika benar-benar perlu
Kurangkan
makanan yang mengandungi lemak yang tinggi
Lebihkan
makanan yang mengandungi serabut yang tinggi
Kurangkan
makan bahan-bahan manis
Tinggal di
kawasan yang tidak tercemar udara
Pilih
pekerjaan yang tidak mendedahkan diri kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan
barah
Tujuh tanda-tanda barah
1] Perubahan
tabii sistem pembuangan najis dan perkencingan
2] Kudis
yang tidak boleh sembuh
3]
Perdarahan atau lendir yang luar biasa
4]
Ketumbuhan pada buah dada atau di tempat lain
5] Makanan
tidak hadam atau kepayahan menelan
6] Perubahan
ketara pada kutil atau tahi lalat
7] Batuk
yang sentiasa ada atau serak suara
Dipetik dari American Cancer Society
No comments:
Post a Comment